
Bismillahirrahmanirrahim.
Di sini suka untuk saya berkongsikan teknik dakwah pantas kepada mereka yang melakukan kesyirikan dengan menggunakan tangkal dan azimat. Katakan kepada mereka bahawa tidak ada siapa yang mampu memberi mudarat dan menghalang mudarat melainkan Allah. Hatta tangkal dan azimat tidak mampu menghalang kehendak Allah SWT bila tiba ketentuanNYA. Sebutkan pada mereka dalil berikut:
"Katakanlah: "Sekali-kali tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan oleh Allah bagi kami. Dialah Pelindung kami, dan hanyalah kepada Allah orang-orang yang beriman harus bertawakkal." ( Surah At-Taubah: 51 )
“Cukuplah Allah menjadi penolong kami dan Allah adalah sebaik-baik pelindung. Maka mereka kembali dengan nikmat dan kurnia (yang besar dari) Allah, mereka tidak mendapat bencana apa-apa, mereka mengikuti keredhaan Allah. Dan Allah mempunyai kurnia yang besar” ( Surah Ali Imran: 173-174)
"Cukuplah bagiku: Allah (yang menolong dan memeliharaku)" ( Surah Az Zumar: 38 )
"Dialah sahaja sebaik-baik Pelindung dan sebaik-baik Pemberi pertolongan." ( Surah Al- Hajj: 78 )
Bila ditanya kepada pengamal tangkal mengapa melakukan kesyirikan ? Mereka menjawab " kami tidak melakukan kesyirikan. kami hanya jadikan tangkal sebagai perantaraan antara kami dan Allah". Kita katakan bahawa Musyrikin ( pelaku syirik ) Mekah sudah lama memberi alasan yang sama untuk menyembah berhala. Mereka menjawab seperti di dalam ayat Quran berikut:
"Ingatlah, hanya kepunyaan Allahlah agama yang bersih (dari syirik). Dan orang-orang yang mengambil pelindung selain Allah (berkata): "Kami tidak menyembah mereka ( berhala ) melainkan supaya mereka mendekatkan kami kepada Allah dengan sedekat-dekatnya". Sesungguhnya Allah akan memutuskan di antara mereka tentang apa yang mereka berselisih padanya. Sesungguhnya Allah tidak menunjuki orang-orang yang pendusta dan sangat ingkar." ( Surah Az-Zumar: 3)
Jika mereka masih tidak mahu mengaku bahawa mereka sebenarnya bergantung kepada tangkal, maka lakukan satu uji kaji mudah. Ambil tangkal atau azimat mereka lalu sorokkan ia. Maka anda akan melihat mereka tidak keruan dan gelisah kerana kehilangan azimat atau tangkalnya. Mereka akan merasa lemah semangat dan hilang keyakinan diri kerana sudah kehilangan 'power'. Ya, itulah bukti bahawa mereka sebenarnya bertawakkal kepada azimat dan tangkal bukannya bertawakkal kepada Allah SWT.
Ulama Ahlus Sunnah Wal Jamaah sepakat menggunakan azimat dan tangkal adalal kesyirikan yang besar dan sama seperti menyembah berhala. Konsep dan alasannya sama dengan konsep dan alasan penyembah berhala. Nauzubillah dari kesyirikan dan kekafiran ini.
" Siapa yang diberi pentunjuk oleh Allah SWT, maka tidak ada siapa yang mampu menyesatkannya. Siapa yang disesatkan oleh Allah SWT, tidak ada siapa yang mampu memberikan petunjuk kepadanya"
Wallahua'lam.
edit :
Don Gawei
penulis :
crew Pengajian sunnah
No comments:
Post a Comment